Thursday, 9 January 2014

Bayi Tercampak Atas Jalan



KUALA BERANG - “Walaupun menggeletar kerana pertama kali lihat kemalangan di depan mata, saya gagahkan diri angkat seorang bayi lelaki yang tertiarap atas jalan setelah tercampak keluar daripada kereta kerana khuatir dia dilanggar kenderaan lain.”

Demikian kata Sabariah Mansor, 49, saksi kemalangan di Kilometer 9 Jalan Ajil-Kuala Berang berhampiran lampu isyarat di bandar Kuala Berang membabitkan tiga Perodua Myvi, sebuah Proton Wira dan sebuah motosikal Honda EX5, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, bayi berusia setahun setengah, Rizki Hazid yang menaiki Proton Wira dipandu ibunya, Siti Sarah Ali, 29, dari arah Ajil-Kuala Berang bagaimanapun terselamat, manakala ibunya patah tangan kiri.

Sabariah berkata, sebaik terdengar bunyi brek kuat, dia yang ketika itu sedang mengemas barang di kedai makannya terus berpaling untuk melihat apa yang berlaku sebelum terdengar bunyi dentuman dan sekelip mata
beberapa kereta terbabas serta turut terbalik.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan benar-benar buatkan saya terkejut dan ketakutan. Sebaik terlihat seorang bayi berada atas jalan, saya gagahkan diri angkatnya kerana bimbang dilanggar kenderaan lain kerana ketika itu lalu lintas agak sibuk," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata Sabariah, ketika itu bayi berkenaan tertiarap atas timbunan kaca dan tidak menangis walaupun terdapat darah di bahagian bawah dagunya, manakala ibunya dikeluarkan orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Beberapa ketika berada dalam dukungan, barulah bayi lelaki itu menangis dan ada sedikit darah keluar daripada mulutnya. Ibunya pula cedera di bahagian tangan kiri dipercayai kerana tersepit. -SINARHARIAN-

2 comments:

cik yaya said...

semoga bayi itu selamat dan ibunya... ngeri pulak yaya baca

Kucing Hitam said...

macam teruk ja kesian bayi tu